Masa aku mengandungkan Iman, waktu itu usia kandunganku menjangkau 7 bulan. Pada petangnya kami suami isteri telah menerima berita tentang kematian bapa sahabat baik suamiku. Jadi, pada malamnya suamiku mencadangkan agar kami bermalam di rumah emakku kerana jenazah akan dikebumikan pada tengah malam hari yang sama. Rumah emak terletak di kawasan yang boleh dikatakan kawasan kampung tetapi berada ditengah-tengah bandar. Sebelum tiba ke rumah emak biasanya akan melalui makam perkuburan orang islam, kristian dan juga gurkha. Rumah ibuku terletak betul-betul berhampiran dengan Kolej Tunku Kurshiah & Sekolah Agama Hj Mohd Said.Tentang gangguan yang datangnya dari makhluk halus ni sudah biasaku dengari kerana di situlah tempat aku dibesarkan. Namun, aku belum pernah lagi terjumpa, tetapi kalau bunyi-bunyian yang menakutkan memang biasa kudengar.
Pada malam tersebut seperti biasa aku akan masuk tidur awal maklumlah orang mengandung memang mudah letih dan penat. Suamiku pula sejak awal petang lagi telah pergi mengiringi jenazah ke kubur islam yang berdekatan. Lebih kurang pukul 12 ke 1 pagi, suamiku pulang ke rumah. Tetapi beliau tidak terus masuk ke rumah kerana ini petua orang dulu-dulu. Beliau duduk diluar seketika, kemudian setelah meludah ke kiri sambil berselawat barulah masuk ke dalam. Selepas mandi dan bersolat barulah beliau masuk tidur dan menegurku. Lebih kurang 1-2 jam kemudian dengan tidak semena-mena aku terdengar bunyi seperti orang menangis. Mendayu-dayu bunyinya. Aku segera tersedar dari tidur yang nyenyak untuk memastikan betulkah apa yang aku dengari. Bunyi iu semakin kuat pula jadinya. Bulu romaku serta-merta berdiri lagi-lagi bila aku teringat yang aku mengandung anak yang sulung. Oleh kerana aku sudah lama tidak mendengar bunyi tersebut aku menjadi takut dan terus membaca ayat-ayat Al-Quran yang boleh diingat pada waktu itu. Tetapi oleh kerana terlalu takut bacaanku menjadi lintang-pukang. Tanpa membuang masa aku mengejutkan suamiku. Apabila suamiku terjaga, beliau terus terdengar bunyian itu dan tanpa melengahkan waktu beliau terus membaca ayat kursi sebanyak 3 kali, serta-merta bunyi suara tersebut beransur-ansur hilang dan menjauh.
Itulah pertama kali suamiku mendengar bunyi yang menakutkan itu. Selama ini hanya mendengar cerita dariku sahaja. Aku tidak tahu bunyi apakah itu, adakah ia bunyi sejenis haiwan atau sememangnya 'makhluk itu' yang mengekori suamiku pulang...
1 comment:
tmpt tu mmg keras kan... teringat waktu hantar adik ke smka shams dulu, balik je dr hantar die, abah meracau mlm tu,sbb abah tercakap ape tah mase lalu kt kwsn perkuburan tu.. nsb baik x berlarutan... pggl ustaz baru abah sedar blk, huhu seram je bile igt blk sbb mak tgglkan sy sorg kt rumah suruh jage abah sementara mak p pggl ustaz, huhu
Post a Comment